Assalamualaikum wbt..

Tatkala saya menaip ini, jam menunjukkan 3.13am. Adakah saya masih belum tidur? Tidak. Saya sudah tidur dari jam 9pm dan bangkit pada jam 2am tadi. Sekarang saya sedang melayan TV sambil ditemani En Suami. Dia yang belum melabuhkan matanya lagi. Tiada apa yang menarik untuk dikongsi hari ini. Saya hanya ingin bercerita sesuatu.

Saya mempunyai seorang teman. Saya memang sudah mengenali beliau sejak dari dulu, tapi hanya mengenali namanya. Kami berkenalan dari satu laman web yang terkenal. Beliau menjadi pembeli cloth diaper yang saya jual ketika itu. Kemudian kami bersama dalam satu kumpulan yang membantu memperkasakan ibu-ibu dalam penyusuan. Ya, kami punya passion yang sama iaitu membantu lebih ramai ibu berjaya menyusukan bayi mereka.

Tidak lama kemudian, saya mendapat tahu beliau telah keluar dari kumpulan itu kerana mahu menumpukan lebih perhatian di dalam bidang perniagaan di mana saya juga menyertainya. Pada ketika itu, saya marah dan kesal atas tindakan yang beliau ambil. Kenapa tidak meneruskan perjuangan dan pada masa yang sama melakukan perniagaan? Atas disebabkan itu saya menulis mengenai ini. Namun, begitu, kuasa Allah jua. Setiap apa yang berlaku itu mempunyai penyebabnya.

Apabila saya tidak mengenali seseorang, kebiasaannya saya akan cuba untuk mengenalinya. Semakin lama, saya sudah mengenali beliau. dan memahami dirinya. Oh rupanya ada sesuatu di dalam dirinya yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Beliau mempunyai situasi dan tekanan yang kadangkala tidak memungkinkan beliau untuk berada di posisi yang saya berada sekarang. Saya semakin tertarik untuk mendekatinya. Beliau sangat tabah. Mungkin pada orang lain situasi yang beliau alami itu nampak mudah. Tetapi hanya dirinya yang dapat merasakan tekanan itu. Namun beliau jarang menunjukkan bahawa beliau ingin mengalah. Setiap hari, tenaganya akan bertambah dan bertambah.

Sebarang situasi beliau akan cuba hadapinya walaupun ia mampu untuk membuatkan beliau hilang kewarasan. Demi anak-anak, beliau harungi jua. Saya belajar untuk tabah menghadapi sebarang situasi dari beliau. Sekiranya saya mempunyai situasi, saya akan terus teringat bahawa apa yang saya hadapi ini tidaklah sehebat mana yang teman saya ni sedang hadapi.

Ya, belajar melalui pengalam orang lain turut membantu dalam kehidupan kita. Jangan terlalu sombong untuk mengambil tahu situasi orang lain. Jangan terlalu asyik memikirkan keadaan diri sendiri sahaja. Belajarlah untuk membuka hati dan mata untuk melihat sekeliling dari pandangan yang berbeza dari pandangan kita.