Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia – 1 hingga 7 Ogos 2010

Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia | Penyusuan Susu Ibu : Hanya 10 langkah menurut Cara mesra bayi

Salam…

Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia kembali lagi. Tahun ni kalendar untuk menyokong mana-mana sambutan WBW (World Breastfeeding Week) sangatla penuh. Kami di MBfPC juga tak menang tangan. Tapi tak semua jemputan dapat kami penuhi sbbnya kebanyakan dari PC adalah seorang yang bekerjaya dan melakukan sebarang aktiviti secara sukarela. Tema pada tahun ini ialah Penyusuan Susu Ibu : Hanya 10 langkah menurut cara mesra bayi! atau dlm bahasa Inggerisnya Breastfeeding : Just 10 steps the baby-friendly way! Ini berdasarkan 10 langkah yang diterapkan dalam Program Inisiatif Hospital Rakan Bayi.

Inisiatif Hospital Rakan Bayi merupakan salah satu program antarabangsa yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF. Program ini ditubuhkan pada tahun 1992 dan bertujuan untuk mengalakkan semua hospital dan pusat bersalin melaksanakan “10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya”. Selain itu, fasiliti ini juga perlu mematuhi amalan Tata Etika Produk Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan dalam usaha mengekalkan pengiktirafan sebagai Hospital Rakan Bayi.  Objektif asas bagi Tata Etika ini adalah memastikan pemakanan yang selamat dan mencukupi bagi semua bayi.

Di Malaysia, Inisiatif Hospital Rakan Bayi telah dilaksanakan sejak tahun 1993. Selepas 5 tahun pelaksanaannya, pada 3 Mac 1998, Malaysia telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai negara ke-3 di dunia yang mempunyai kesemua hospital kerajaan diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi. Program Inisiatif Hospital Rakan Bayi ini memerlukan kerjasama yang rapat dengan sistem kesihatan, terutamanya klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran dengan fasiliti yang diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi.

Apakah dia 10 Langkah yang diwar-warkan itu?

10 LANGKAH KE ARAH PENYUSUAN SUSU IBU YANG BERJAYA

  1. Mempunyai polisi penyusuan susu ibu secara bertulis yang disampaikan kepada semua kakitangan kesihatan secara berkala.
  2. Melatih semua kakitangan di dalam kemahiran yang perlu untuk melaksanakan polisi ini.
  3. Memberitahu semua ibu mengandung tentang kebaikan dan pengurusan penyusuan susu ibu.
  4. Membantu ibu-ibu memulakan penyusuan susu ibu dalam masa setengah jam selepas kelahiran.
  5. Menunjukkan ibu-ibu cara menyusukan dan mengekalkan laktasi kepada ibu-ibu walaupun mereka terpaksa dipisahkan daripada anak-anak mereka.
  6. Tidak memberikan bayi-bayi baru lahir makanan atau minuman selain susu ibu kecuali atas sebab-sebab perubatan.
  7. Mengamalkan penyusuan di sisi ibu (“rooming-in”) – membenarkan ibu dan anak bersama-sama selama 24 jam sehari.
  8. Menggalakkan penyusuan susu ibu mengikut kehendak bayi.
  9. Tidak memberikan puting tiruan atau puting kepada bayi-bayi yang menyusu susu ibu.
  10. Menggalakkan penubuhan kumpulan-kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dan merujuk ibu-ibu kepada mereka selepas keluar hospital atau klinik.

Bagaimana kita boleh membantu?

- bantu kawan dan komuniti utk mendapatkan 10 langkah

- libatkan diri dalam komuniti hospital dan tunjukkan sokongan anda

- ambil tahu mengenai ibu-ibu yang sudah selamat melahirkan. Adakah terdapat mana-mana kumpulann sokongan atau bidan dalam kawasan anda? Bantu mereka dengan merujuk ibu2 itu kepada mereka yg berkenaan

- libatkan diri dengan lebih besar, secara nasional dan global sekiranya mampu

Untuk maklumat lanjut, boleh layari World Breastfeeding Week 2010

Mudah bukan? Kadang2 kita tak perasan pun yg sebenarnya kita dah pun terlibat secara langsung dan tidak langsung. Untuk membantu menjayakan penyusuan, anda tidak semestinya perlu menjadi seorang pakar laktasi. Tetapi, sekiranya terdapat perkara-perkara yang menjadi kemusykilan, rujuk masalah itu kepada yang pakar ok!

Selamat Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia!!

Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia | Penyusuan Susu Ibu : Hanya 10 langkah menurut Cara mesra bayi