Salam…

Hari tu kita bincangkan mengenai persiapan yang boleh dilakukan oleh ibu-ibu yang ingin menyusukan bayi mereka serta bagaimana susu itu dihasilkan dan dikeluarkan dari payudara. Pada kali ini, kita akan membincangkan kepentingan susu ibu secara sejagat (globally).

Setiap hari dalam selang masa 20 minit, seramai 40,000 orang kanak-kanak di Negara sedang membangun mati kerana kekurangan zat makanan. Dalam pada itu, seramai 25% mati sebelum usia 5 tahun. Penyusuan sebenarmya merupakan kaedah lama dan natural serta diterima secara menyeluruh di seluruh dunia. Ia adalah kaedah pemakanan yang paling baik bagi bayi.

Apakah kebaikan penyusuan susu ibu dari segi kesihatan?

  1. Penyusuan susu ibu menyelamatkan nyawa

Di negara membangun, risiko kematian bayi bertambah 10-15 kali ganda bagi bayi yang tidak menyusu. Ini disebabkan penggantungan terhadap susu formula. Ia juga disebabkan pemberhentian penyusuan susu ibu lebih awal.

Kadar kematian disebabkan oleh SIDS (Sudden Infant Death Syndrome) juga meningkat disesetengah negara yang lebih ramai bayi-bayi disusukan dengan susu formula.

  1. Susu ibu adalah makanan bayi yang sempurna bagi bayi

Susu ibu merupakan sumber nutrisi yang sempurna dan lengkap bagi bayi. Komposisi susu ibu berubah mengikut pertumbuhan bayi. Kandungan nutrisi susu ibu pada bayi baru lahir adalah sesuai untuk bayi yang baru lahir, manakala kandungan nutrisi susu ibu pada bayi berumur 6 bulan adalah bersesuaian dengan bayi berumur 6 bulan.

  1. Penyusuan susu ibu mengelakkan cirit-birit

Bayi sehingga berumur 2 bulan adalah 2 kali ganda mudah untuk mendapat cirit-birit apabila ia tidak diberi susu ibu dan kebarangkalian untuk mati dari kesannya meningkat sehingga 25 kali ganda.WHO menegaskan bahawa penyususan susu ibu adalah langkah pertama dalam mencegah cirit-birit dikalangan bayi. Keadaan akan menjadi lebih ketara di tempat-tempat yang tidak mempunyai sumber air yang bersih dan sempurna serta kurang pengetahuan dalam penyediaan susu.

  1. Penyusuan adalah imunisasi bayi yang pertama

Bayi sangat terdeah kepada pelbagai kuman dan penyakit. Oleh itu, pertahanan bayi yang paling utuh ialah kolustrum yang diperoleh dari penyusuan awal. Kolustrum kaya dengan antibodi dan lain-lain sel pertahanan yang dapat membantu bayi dari serangan bakteria dan virus.

  1. Mencegah dari alahan

Banyak tanda alahan berlaku dari penyusuan susu formula. Antaranya ialah kembung perut, cirit-birit, muntah, ekzema, dan asma. Keadaan ini dapat dikurangkan sekiranya bayi diberikan susu ibu sepenuhnya. Tanda-tanda alahan dapat dilewatkan sekurang-kurangnya sehingga 2 tahun.

  1. Penyusuan susu ibu mengurangkan penyakit

Penyakit jangkitan peparu adalah punca utama kemasukan ke hospital. Pertambahan adalah tinggi di kalangan bayi yang tidak menyusu susu ibu. Bagi bayi yang diberi susu ibu, jangkitannya adalah tidak teruk.

  1. Penyusuan susu ibu menggalakkan kesihatan yang lebih baik

Bayi yang menyusu susu ibu telah mendapat antibodi dari kolustrum. Oleh itu, sistem pertahanan (sistem imun) adalah tinggi dan baik. Ini juga meningkatkan tahap kesihatan yang baik kepada bayi.

  1. Mengeratkan hubungan ibu dan anak.

Ikatan (bonding) di antara ibu dengan anak akan terbentuk dengan lebih baik dan erat. Ini juga menggalakkan pertumbuhan dan daya ransangan yang lebih baik buat si kecil.

Bagaimana?? Sudah dapat gambaran mengenai kebaikan penyusuan susu ibu? Nanti saya akan ceritakan kebaikan penyusuan kepada ibu dan anak secara lebih spesifik.

Sehingga bertemu lagi.