Salam…

Adakah kalian sihat2 aje hari nih.? Tinggal 2 hari saja lagi nak masuk 2010. Macamana? Dah siap ke rencana dan rancangan utk tahun depan? Rancanga dan visualkan apa yg anda ingin capai pada 2010. Nanti saya nak kongsi dgn korang pasal kuasa minda. W/pun ianya bukan topik yg baru, ia adalah perkara yg sering berlaku. Nantikan ye. Tapi sebelum tu, mari kita habiskan dulu tip SC2009 kita.

TIP #27 – SIMPAN CHALLENGE – DENDA JIKA NEGATIF
oleh – AbangAbu

Tip hari ini juga sesuatu yang menarik untuk dilakukan. Setiap perkataan negatif yang di ucapkan oleh sesiapa dalam keluarga anda perlu membayar denda.

Bincangkan denda yang perlu dibayar jika perkataan yang negatif digunakan. Misalnya sesiapa sahaja yang didapati membuat kesilapan tadi perlu membayar 50 sen. Dengan mengamalkan tip ini, semua anggota akan mula mengawasi semua perkataan yang dituturkan. Anda juga boleh berbincang dengan keluarga dalam menentukan perkataan apakah yang tidak boleh digunakan.

Contohnya, perkataan “SIAL” adalah perkataan yang dilarang untuk digunakan. Maka jika sesiapa didapati mengunakan perkataan ini perlu membayar denda. Duit ini perlu dimasukan dalam tabung simpan challenge.

Tip ini dengan sendiri akan mendidik anda dan keluarga menghormati antara satu sama lain dan tidak menggunakan perkataan perkataan yang dilarang. Semua anggota perlu bersetuju dalam menentukan apakah perkataan perkataan yang dilarang dan harus dibayar denda jika digunakan.Mulakan hari ini juga.
Denda pada tabiat yang ingin dihentikan
oleh Irfan Khairi

Selain daripada denda pada perkataan negatif dan kurang enak didengar, anda juga boleh mengambil peluang tip kali ini untuk membuang sesuatu tabiat yang ingin buang, tetapi asyik bertunda sahaja.
Sebagai contoh, sekiranya anda ingin membuang tabiat merokok, jadikan merokok sebagai satu denda! Setiap kali mencapai rokok, masukkan RM5 ke dalam tabung Simpan Challenge anda! Sekiranya anda ingin menurunkan berat badan, setiap kali anda ingin makan coklat, masukkan RM5 kedalam tabung anda! Sekiranya anda ingin hentikan sebarang tabiat anda, jadikannya sebagai denda dan masukkan wang denda tersebut ke dalam tabung Simpan Challenge!

PEDOMAN HIDUP Bersama Ustaz Abdul Rahman Md Sahid

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 275, yang bermaksud: ” Allah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba. ”

Dalam ruang Pedoman Hidup hari ini ingin membincangkan salah satu sumber pendapatan kita iaitu perniagaan. Berniaga adalah salah satu bentuk mualamat yang disyariatkan oleh Islam. Agama Islam juga telah memberikan garis panduan dalam jual beli agar tidak ada penipuan yang berlaku di antara penjual, pembeli, pemilik harta dan juga sesiapa yang terlibat dalam urusan tersebut. Lebih-lebih lagi setiap perniagaan melibatkan urusan kewangan, yang mana manusia sering diuji Allah s.w.t dalam hal kewangan, seperti keinginan untuk mengambil kesempatan terhadap yang lemah, keinginan untuk mengunakan kewangan dengan cara yang salah dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita mesti mengetahui garis panduan Islam tentang jual beli, isu undang-undang, cara terbaik menjalankan perniagaan dan sebagainya sekiranya kita ingin memulakan sesuatu perniagaan.

Terutama Islam sangat menggalakkan umatnya berniaga kerana dikatakan sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada perniagaan. Dalam masa yang sama, walaupun kita digalakkan untuk berniaga ia sebenarnya bermaksud agar kita mempelajari selok-belok perniagaan atau mendapat nasihat dari pakar terlebih dahulu sebelum kita memulakannya. Ini kerana Islam juga melarang kita untuk meletakkan diri kita dalam kebinasanaan.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 195, yang bermaksud: ” dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. ”

Seorang Muslim yang berjaya akan memastikan setiap perkara yang ingin dilakukannya dirancang dengan teliti terlebih dahulu serta meminta pendapat dan nasihat dari beberapa pakar dalam bidang tersebut sebelum melakukannya, dan diikuti dengan tawakkal kepada Allah s.w.t.

Tip dari AbangAbu tu menarik. mmm.. nanti buat list. Tip dari IK pun boleh tahan gak..mmm… kena wat list gak ni..