Salam…

Apa aktiviti korang hari ni?? Tak kesah la kan korang nak buat apa, yang penting mak pak, anak2 sume happy ye. Itu yg penting sekali.

Moh kita sambung SC2009 kita. Dah lewat ni. Nanti dah masuk 2010, SC2009 tak siap2 lagi.. hehehe

TIP #23 – SIMPAN CHALLENGE- BACA SATU BUKU KEWANGAN
oleh – AbangAbu

Hari ini AbangAbu ingin memberi satu rahsia yang paling penting dalam memperolehi kejayaan dalam segala apa jua perkara. Baca adalah perkataan pertama yang diwahyukan. Dan sudah tentu membaca ini mempunyai rahsia yang paling penting untuk manusia.

Tip hari nampak mudah sahaja tetapi dengan mengamalkan tip ini anda akan memperolehi banyak idea idea serta ilmu kewangan anda akan meningkat dan seterusnya menjimatkan banyak wang.

Ada sebuah buku yang AbangAbu ingin anda membacanya. Rich Dad Poor Dad.

INGAT! Anda boleh meminjam buku ini dari perpustakaan. AbangAbu pasti anda akan mendapat banyak jawapan bagi soalan soalan anda selama ini serta menukar minda anda mengenai bab kewangan.

Antara perkara yang AbangAbu sendiri belajar dari buku ini
1) Minda orang KAYA dan apa yang mereka lakukan.
2) Aliran kewangan yang betul
3) Pendapatan Pasif.

Kepada anda yang sudah membacanya , anda boleh membacanya sekali lagi atau dapatkan buku ini pula One Minute Millionaire .

Kongsikan panduan serta pelajaran yang anda dapat dari buku tersebut dengan anggota keluarga anda.
Tip buat duit Irfan Khairi

Zaman Internet ini, produk yang paling laris terjual adalah produk informasi. Seperti ebook! Mentor Jutawan di http://www.irfankhairi.com adalah contoh ebook.

Oleh kerana informasi adalah produk yang paling laris di Internet, fikirkan apa yang yang ada pada diri anda, sama ada kebolehan, kepakaran atau minat anda yang boleh dibukukan dalam bentuk ebook.

Tak kira apa sahaja industri anda berada, pastinya terdapat idea yang boleh dibukukan. Fikirkan buku yang ada pada diri anda. Sekiranya anda seorang penulis, buku apa yang anda akan tulis?

PEDOMAN HIDUP Bersama Ustaz Abdul Rahman Md Sahid

Di musim perayaan ini, ramai ahli keluarga, teman-teman, jiran tetangga serta kenalan kunjung ke rumah kita. Ia merupakan suatu amalan yang mulia. Kita pula sebagai tuan rumah perlulah menerima mereka dengan hati terbuka, ikhlas serta wajah yang ceria. Mereka yang hadir ke rumah kita pula selalunya tidak bersendirian, kadang-kadang bersama ahli keluarganya atau pun rakan-rakannya.

Telah menjadi amalan masyarakat kita untuk memberikan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak serta mereka yang masih dibangku sekolah. Amalan ini juga sangat mulia. Apa yang mustahak disini adalah, disebabkan ia telah menjadi suatu kebiasaan untuk memberikan duit raya, kita hampir terlupa bahawa ia sebenarnya adalah Sedekah. Oleh yang demikian, kita perlu mempunyai niat bersedekah tiap kali kita memberikan kepada kanak-kanak tersebut. Dikhuatirkan sekiranya kita hanya memberikan kerana ia telah menjadi suatu kebiasaan, iaitu tanpa niat bersedekah maka sia-sialah amalan tersebut.

Untuk memberikan duit raya atau bersedekah ini, kita perlulah mempunyai keikhlasan dan sifat suka memberi. Apabila telah kita berikan duit raya kepada kanak-kanak tersebut, janganlah kita mengatakan sesuatu yang kurang baik kerana akan sia-sialah pahala sedekah kita, seperti contoh: “Budak-budak ini tak ada kerja lain, collection sahaja!”

Firman Allah s.w.t dalam surah an-Imran ayat 92, yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Dalam surah al-Baqarah ayat 254 pula, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah (agihkanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Walaupun kita sedang sibuk menabung sekarang ini, janganlah kita terlupa untuk bersedekah. Ini kerana seorang Muslim yang berjaya akan kekal bersedekah walaupun jumlahnya kecil, kerana yakin dengan keberkatan yang ada pada sedekah itu.

Apa lagi.. pi le perpustakaan atau hubungi teman2 yg sudah ada buku ni. Nanti kita kongsi ye.. Cik Yut pun belum berkesempatan nak baca lagi sbb masih banyak buku yang perlu dibaca dan dikhatam.. heheh  >_<

Sampai jumpa lagi. Selamat berhujung minggu bersama keluarga!!